OhmygojesShop

OhmygojesShop
Let's Go Shopping at OhmygojesShop!

Friday 29 June 2012

10 Perkara Menarik Sepanjang Euro 2012

Menjelang perlawanan akhir Euro 2012

Kancah Euro 2012 sudah hampir ke kemuncak dengan pasukan Sepanyol dan Itali bakal berentap di pentas akhir. Sepanjang kejohanan ini berlangsung sejak beberapa minggu yang lepas, kita telah menyaksikan gol-gol cantik, permainan bertahan yang cukup berdisiplin dan tidak lupa juga kontroversi yang sering tercetus dikalangan pemain dan penonton. Disini penulis telah senaraikan 10 perkara menarik sepanjang Euro 2012 yang berlangsung di Poland & Ukraine ini.

10. Perlawanan Pembukaan Penuh Dramatik

Boleh dikatakan antara perlawanan pembukaan Euro paling menarik dalam sejarah, apabila menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan 10 pemain. Poland membuka tirai jaringan melalui tandukan kencang Robert Lewandowski. Setelah pemain Greece, Sokratis Papastathopoulos dilayangkan kad merah, penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny pula diarah keluar padang kerana mengasari pemain lawan dalam kotak penalti. Penjaga gol gantian, Przemyslaw Tyton bertindak cemerlang apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti namun Greece kembali bangkit menyamakan kedudukan untuk berkongsi 1 mata.


9. Sepanyol Turun Tanpa Penyerang

Juara bertahan dibawah kendalian Vicente del Bosque ini mengejutkan ramai pihak ketika perlawanan pembukaan mereka menentang Itali kerana menurunkan kesebelasan utama tanpa kelibat penyerang. Skuad La Roja itu lebih suka menggunakan khidmat 4 pemain pertahanan dan 6 pemain tengah walaupun mempunyai penyerang berwibawa seperti Fernando Torres, Llorente dan Negredo.


8. Nasri Tutup Mulut Media

Akibat terlalu berang dengan tekanan media, Samir Nasri meraikan jaringan penyamaan beliau ketika bertemu England dengan melaungkan "Tutup mulut anda" dalam bahasa Perancis sambil berlari ke tei padang dan meletakkan jarinya di bibir.


7. Bendtner Didenda $125,000

Ketika meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Portugal, penyerang Denmark, Nicklas Bendtner telah melondehkan seluarnya sehingga menampakkan bahagian atas seluar dalam beliau yang tertera tulisan 'Paddy Power'. Akibat perbuatan tersebut, Bendtner telah didenda sebanyak $125,000 dan turut digantung satu perlawanan. Paddy Power adalah sebuah firma perjudian sukan dan pihak mereka telah bersetuju untuk membayar denda tersebut.


6. Perlawanan Antara Ukraine Dan Perancis Tertunda

Perlawanan peringkat kumpulan antara Ukraine dan Perancis di Donetsk terpaksa ditunda selepas 5 minit ia dilangsungkan akibat hujan lebat. Perlawanan tersebut disambung semula 50 minit kemudian yang menyaksikan Perancis menang dengan jaringan 2-0.


5. Balotelli Budak Bermasalah

Mario Balotelli atau 'Super Mario' memang terkenal dengan sikap panas baran dan sukar diramal. Sebaik sahaja menjaringkan gol ketika menentang Ireland, beliau sekali lagi dilihat cuba mencetuskan kontroversi namun mujurlah rakan sepasukan, Leonardo Bonucci cepat menghalangnya dengan menutup mulut penyerang berusia 21 tahun itu.


4. Rooney & Hair Spray

Pasti ramai yang tertanya-tanya kenapa Wayne Rooney meraikan jaringannya semasa menewaskan Ukraine dengan menunjukkan seolah-olah sedang menggunakan hair spray. Ia adalah simbolik yang ditujukan kepada Andy Carroll yang memberi pinjam produk penjagaan rambut beliau kepada Rooney sebelum perlawanan bermula dan beliau meminta penyerang Manchester United itu menjaringkan gol melalui tandukan.


3. Gol Ukraine Tidak Dikira

Ketika ketinggalan 0-1 kepada England dalam perlawanan terakhir kumpulan D, rembatan Marko Devic berjaya melepasi Joe Hart tetapi bola tersebut berjaya 'diselamatkan' oleh John Terry sebelum ia menerjah gawang. Namun siaran ulang tayang menunjukkan bola tersebut sebenarnya telah pun melepasi garisan gol dan sepatutnya ia dikira sebagai gol. Kelekaan pengadil ini telah menguatkan tuntutan agar teknologi garisan gol digunapakai untuk kejohanan akan datang bagi mengelakkan kejadian sama berulang.


2. Kebangkitan Ronaldo

Turun sebagai status pemain bintang, harapan yang disandarkan kepada Cristiano Ronaldo sangat menggunung. Walaupun sering diejek oleh penyokong lawan dengan sorakan "Messi", beliau berjaya menutup segala kritikan awal yang mengatakan beliau gagal menyinar di pentas antarabangsa dengan menjaringkan 3 gol dalam kejohanan ini. Namun kegagalan pasukannya mara ke perlawanan akhir melalui penentuan sepakan penalti pasti menjadi pengalaman pahit buat Ronaldo apabila beliau selaku pengambil penalti terakhir Portugal tidak berpeluang berbuat demikian kerana pasukannya sudah pun ketinggalan 2 gol.

1. Cucchiaio

Tendangan cantik yang diambil oleh Andrea Pirlo ketika penentuan sepakan penalti menentang England semestinya kekal dalam ingatan peminat setia Itali. Tendangan yang dikenali sebagai 'cucchiaio' itu telah berjaya membawa skuad Azzurri ke peringkat separuh akhir.


Dapatkan trafik percuma dengan sertai 
Segmen: Bloglist Blog Rilek-Rilek Julai 2012 (Tarikh Tutup: 10 Julai 2012)

Suka dengan artikel ini? Klik butang LIKE untuk share dengan rakan² anda d^_^b

2 Tindak Balas:

zuhaida said...

yang gol ukraine tak dikira tu paling kesian. huhu.

S.A.M said...

@zuhaida

itulah, dah la main tmpt sendiri..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...