Jika lepasi ujian pemilihan selama seminggu bersama kelab SC Beira-Mar
Bukan kerana nasib atau mendapat jemputan semata-mata sebaliknya pemain muda berbakat, Mohd. Nazmi Faiz, 17, bakal menjalani ujian pemilihan selama seminggu di kelab bola sepak Divisyen Satu Portugal, SC Beira-Mar secara merit.
Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee menjelaskan, Nazmi akan menjalani sesi ujian di kelab liga Portugal itu kerana bakatnya, tanpa campur tangan dari beliau atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bakal berada di Portugal selama seminggu bermula dari 13 hingga 21 Mei ini ditemani ayahnya, Mansor Mustafar, Nazmi akan menjalani pemilihan untuk menyertai skuad utama kelab tersebut. Jika berjaya, Nazmi bakal menyertai kelab itu secara kontrak pada umur 18 tahun.
